Jumaat, 26 Februari 2010

Mutiara Nabawi

Assalamualaikum.

Bermula tahun 2010 ini juga, aktiviti tazkirah yang diadakan pada setiap pagi Jumaat di surau Al-Falah (selepas bacaan yasin dan tahlil) akan menggunakan buku Mutiara Nabawi yang disusun oleh guru penyelaras dakwah SMK Taman Daya 3.

Buku Mutiara Nabawi ini mengandungi 40 buah hadis nabi yang menerangkan tentang amalan-amalan yang boleh membawa seseorang ke syurga. Hadis-hadis tersebut telah dipilih daripada kitab Tamam Al-Minnah karya Al-Muhaddis Abdullah Al-Ghumari yang mengandungi sebanyak 180 buah hadis yang memperkatakan mauduk (tajuk) yang sama.

Mudah-mudahan buku ini akan memberi ilmu yang berguna kepada para pelajar dan warga pendidik SMK Taman Daya 3 yang beragama islam khususnya dan umat islam lain amnya. Insya Allah jika ada kelapangan, setiap hadis dalam buku tersebut akan dipaparkan dalam ruangan blog ini, insya Allah. Wassalam.   

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Assalamualaikum. Panitia Pendidikan Islam dan juga jawatankuasa Surau Al-Falah SMK Taman Daya 3 mengucapkan selamat menyambut maulidur rasul kepada seluruh warga sekolah SMK Taman Daya 3 yang beragama Islam. Mudah-mudahan sambutan ini akan membuka pintu hati dan minda kita untuk lebih mencintai baginda Rasulullah sallallahhu alaihi wa sallam. Lebih utama dari itu, marilah sama-sama kita jadikan baginda sebagai 'role model' dalam kehidupan kita dan juga para ulama solihin yang merupakan pewaris baginda. Wassalam.

Blog Rasmi Surau Al-Falah SMK Tmn Daya 3

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana pada hari ini terhasillah blog rasmi surau Al-Falah SMK Taman Daya 3. Blog ini akan memaparkan ilmu dan maklumat yang diperlukan oleh murid-murid Islam SMK Taman Daya 3 khususnya dan untuk umat Islam keseluruhannya.

Mudah-mudahan apa yang dipaparkan di dalam blog ini akan digunakan sebaiknya oleh sesiapa sahaja yang melayari blog ini. Perlu juga untuk dinyatakan di sini bahawa blog ini berjalan di atas metodologi (mahaj) ahlus sunnah wal jamaah iaitu kami berpegang dengan mazhab Imam As-Syafie dalam perkara fekah dan mengikut manhaj Imam Abul Hasan Al-Asy'ari dalam perkara akidah.

Walaupun berpegang dengan mazhab imam As-Syafie dalam perkara fekah, namun demikian kami tetap meraikan pendapat-pendapat yang terdapat dalam tiga mazhab fekah yang lain seperti mazhab hanafi, maliki dan juga hanbali. Hal ini demikian kerana mazhab syafie, hanafi, maliki dan hanbali merupakan mazhab yang dipegang oleh majoriti umat islam yang berfahaman sunni di dunia islam masa kini.

Mudah-mudahan usaha kecil ini diberkati dan dirahmati Allah. Langkah pertama sudah bermula dan semoga ia tidak berhenti setakat di sini sahaja. Amin!